Bayaran i-Sejahtera Fasa 3 mulai esok, Pulau Pinang salur RM4.5 juta tahun ini

Penerima boleh menyemak status pembayaran yang diumumkan secara berperingkat mulai 14 Okt ini melalui laman web i-Sejahtera. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN: Sebanyak 4,319 penerima yang layak bagi Fasa 3/2024 program i-Sejahtera di Pulau Pinang akan menerima bayaran melalui pemindahan dana elektronik (EFT) ke dalam akaun bank masing-masing mulai esok.

Pengerusi Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim, berkata jumlah tersebut merangkumi 2,936 penerima Program Penghargaan Warga Emas, 177 penerima Program Bantuan Ibu Tunggal (PBIT), 780 penerima Program Suri Emas, dan 426 penerima Program Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU), dengan keseluruhan perbelanjaan berjumlah RM768,100.

“Pembayaran Fasa 3/2024 hanya akan diberikan kepada pemohon baharu yang mendaftar sebelum 30 Jun setiap tahun. Permohonan yang dibuat selepas 30 Jun 2024 akan menerima bantuan program i-Sejahtera pada Fasa 1/2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DISYORKAN : Menjelang setahun serangan Israel, Rosco anjur konvoi solidariti untuk Gaza

Secara keseluruhannya, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menyumbangkan sebanyak RM54.07 juta kepada 283,131 penerima menerusi enam program bantuan dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Beliau berkata, peruntukan terbesar adalah bagi Program Penghargaan Warga Emas, yang melibatkan RM41.06 juta kepada 205,311 penerima. Ini diikuti oleh Bantuan Ibu Tunggal (10,753 penerima dengan jumlah RM1.1 juta), Penghargaan Suri Emas (45,107 penerima dengan jumlah RM4.5 juta), dan Bantuan OKU yang disalurkan kepada 14,416 penerima dengan jumlah RM2.9 juta.

DISYORKAN : Larian berpakaian tidak senonoh: Tiga lelaki ditahan bantu siasatan

Selain itu, bagi Program Anak Emas, sebanyak RM751,200 telah disumbangkan dalam bentuk pemberian sekali sahaja kepada 3,756 penerima, manakala Sumbangan Khairat Kematian melibatkan peruntukan sebanyak RM3.7 juta yang disalurkan kepada 3,788 penerima.

Lim berkata, penerima boleh menyemak status pembayaran yang diumumkan secara berperingkat bermula 14 Oktober ini melalui laman web i-Sejahtera, atau menghubungi Pusat Khidmat Kerajaan Perpaduan yang berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Kerajaan negeri juga menyeru para pemohon untuk mengemaskini maklumat akaun bank masing-masing bagi memastikan penerimaan bantuan Program i-Sejahtera berjalan lancar bagi Fasa 1/2025.

Sumber : astroawani.com

Related posts

Leave a Comment