KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh didenda sebanyak RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menganiaya seorang bayi lelaki berusia 18 hari dengan mencampurkan ubat selesema ke dalam botol susu bayi tersebut bulan lepas.
Hakim Dr. Azrol Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Hew Foong Chun, 66 tahun, dan memerintahkan tertuduh dipenjara selama sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mahkamah juga memerintahkan wanita tersebut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM1,000 dan seorang penjamin. Selain itu, dia juga diperintahkan untuk melaksanakan khidmat masyarakat selama 90 jam dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.
DISYORKAN : Bayaran i-Sejahtera Fasa 3 mulai esok, Pulau Pinang salur RM4.5 juta tahun ini
Mengikut pertuduhan, Hew didakwa melakukan penganiayaan terhadap bayi lelaki berusia 18 hari dengan mencampurkan ubat selesema ke dalam botol susu mangsa, yang boleh menyebabkan kesihatan bayi tersebut terjejas.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah residensi di Bukit Jalil, Cheras, pada jam 2.21 pagi, 15 September lalu, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, bapa bayi berkenaan, yang juga merupakan pengadu, telah mengupah wanita itu sebagai pengasuh untuk menjaga bayi yang baru lahir selama 20 hari dengan gaji RM4,500 di kediamannya.
Namun, pengadu menyedari bahawa anaknya hanya tidur setiap hari dan kesihatannya tidak seperti bayi lain. Pengadu kemudiannya memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati tertuduh memasukkan ubat selesema ke dalam botol susu dan memberi bayi itu minum walaupun bayi tersebut sihat dan tidak mempunyai masalah kesihatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, sebelum itu memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran atas faktor kepentingan awam bagi mengelakkan kesalahan serupa dilakukan oleh sesiapa, terutamanya pengasuh.
Tertuduh, yang tidak diwakili oleh peguam, memohon hukuman ringan dengan alasan dia seorang ibu tunggal dan mempunyai penyakit asma, diabetes, darah tinggi, serta masalah pendengaran dan penglihatan.
“Saya meminta maaf atas kesalahan saya. Saya tidak sengaja lakukan demikian. Saya ingat dia (bayi) ada selesema sebab itu saya bagi,” katanya.
Sumber : astroawani.com
[…] Pengasuh didenda RM8,000, campur ubat selesema dalam susu bayi 18 hari […]