GISB: PDRM beku, sita harta RM19.9 juta, kesan aset luar negara RM52.4 juta

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pembekuan itu dilaksanakan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Fasa keempat Op Global oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyaksikan tindakan pembekuan dan penyitaan harta dalam negara yang berkaitan dengan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd, dengan nilai hampir RM19.9 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, menyatakan bahawa pembekuan tersebut dilaksanakan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa PDRM telah memperoleh maklumat mengenai 23 harta milik GISB di 10 negara lain dengan anggaran nilai sebanyak RM52.4 juta.

DISYORKAN : PM Anwar ucap takziah kepada keluarga tiga pelajar UiTM maut kemalangan

“Namun begitu, PDRM masih menunggu pengesahan harta tersebut daripada negara yang terlibat bagi tindakan lanjut pembekuan dan penyitaan di bawah Akta 613,” katanya dalam sidang media di ibu negara pada Khamis.

Mengenai aktiviti GISB di luar negara yang dipercayai melibatkan 19 buah negara, Mohd Shuhaily menyatakan bahawa PDRM telah mendapatkan bantuan daripada Polis Antarabangsa (Interpol) serta pihak polis negara-negara terbabit.

DISYORKAN :  Hukuman gantung kes bunuh jutawan kosmetik Sosilawati kekal

Setakat ini, katanya lagi, 19 negara tersebut terletak di rantau Asia Tenggara, Eropah, dan Asia Barat. Tiga premis di sebuah negara telah dihentikan operasi, dengan pintu dan tingkap ditutup menggunakan plastik hitam.

“Papan tanda juga telah diturunkan, dan tingkap serta pintu ditutup dengan plastik hitam. Ini adalah salah satu maklum balas yang kita terima, di mana GISBH yang beroperasi di negara tersebut telah berhenti beroperasi.

“Namun demikian, kita masih belum mendapat maklumat berkaitan dengan ahli-ahli mereka di negara tersebut. Ini adalah tugasan seterusnya, dan siasatan sedang kita atur,” tambahnya.

Sumber : astroawani.com

Related posts

Leave a Comment