Banjir di tujuh negeri beransur pulih petang ini

Penduduk melintasi kawasan yang musnah akibat dilanda banjir ketika tinjauan di Kampung Baru Nelayan, Tumpat, hari ini. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di tujuh negeri yang terkesan mula menunjukkan pemulihan menjelang petang ini.

Kelantan
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus berkurang kepada 28,038 orang dari 9,018 keluarga yang ditempatkan di 72 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), berbanding 34,672 orang pagi tadi.

Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tumpat mencatatkan jumlah tertinggi dengan 16,096 mangsa di 38 PPS, diikuti Pasir Mas seramai 11,942 mangsa di 34 PPS.

Portal infobanjir.water.gov.my melaporkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang (9.16m) dan Tumpat (3.43m) masih di tahap bahaya tetapi menunjukkan penurunan.

Kedah
Di Kedah, jumlah mangsa banjir menurun kepada 4,419 orang daripada 1,315 keluarga berbanding 5,067 orang pagi tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, memaklumkan semua mangsa ditempatkan di 23 PPS di tiga daerah, iaitu Kota Setar (3,390 orang), Kubang Pasu (857 orang), dan Pokok Sena (172 orang).

DISYORKAN : Tiada harapan temui nenek jatuh dalam lubang benam masih hidup – Polis AS

Terengganu
Jumlah mangsa banjir di Terengganu juga turun kepada 4,025 orang di 21 PPS dari empat daerah yang terkesan, berbanding 7,423 orang pagi tadi.

Kuala Nerus mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2,130 orang, diikuti Dungun (1,249 orang), Kuala Terengganu (552 orang), dan Setiu (94 orang). PPS di Hulu Terengganu dan Marang sudah ditutup sepenuhnya tengah hari tadi selepas cuaca baik sepanjang hari.

Johor
Di Johor, jumlah mangsa banjir turut berkurang kepada 993 orang dari 276 keluarga. PPS aktif kini tinggal 17, dengan Segamat mencatatkan 817 mangsa, manakala Tangkak menempatkan 176 orang.

Sebahagian jalan di Segamat seperti Jalan Kuala Paya-Balai Badang dan Jalan Tumang masih ditutup kepada semua kenderaan, sementara Jalan Serakek hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Perak
Mangsa banjir di Perak juga menurun kepada 158 orang daripada 54 keluarga yang berlindung di lima PPS, iaitu tiga PPS di Kinta dan dua PPS di Perak Tengah.

Paras air Sungai Perak di Hulu Perak masih pada tahap bahaya (166.41m) tetapi menunjukkan tren menurun.

Pahang
Jumlah mangsa banjir di Maran, Pahang, juga menurun kepada 15 orang setakat petang ini. Daerah Temerloh dan Bera sudah pulih sepenuhnya dengan semua PPS ditutup.

Hanya satu sungai di Maran, Sungai Luit, masih melebihi paras bahaya tetapi tren air semakin menurun.

Melaka
Di Melaka, jumlah mangsa banjir kekal 160 orang daripada 41 keluarga, dengan mangsa ditempatkan di dua PPS di daerah Jasin iaitu Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu dan Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat.

Keadaan banjir di beberapa negeri lain juga menunjukkan perkembangan positif, membolehkan lebih ramai mangsa pulang ke rumah masing-masing.

Sumber : astroawani

Related posts

Leave a Comment