PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa buat kali kedua pada 14 Ogos lalu.
Virus ini dipercayai berasal dari bahagian tengah dan barat Afrika namun kini telah menular ke kawasan luar benua itu.
Pakistan, Sweden dan Indoneisa antara negara yang telah mencatatkan kes pertama virus berkenaan dalam kalangan penduduk.
Menurut Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, tindakan antarabangsa yang selaras perlu bagi memastikan penularan virus ini dapat dihentikan segara.
Selain itu ia juga dapat menjamin kesihatan orang awam.
Baca Juga : Tiga pelajar hilang, perahu karam ketika hendak ke sekolah
Penularan virus ini bukan pandemik dan mungkin ia tidak akan mencapai status itu.
Namun, apakah virus mpox ini dan bagaimana untuk melindungi diri daripada dijangkiti?
Sebelum ini, mpox dikenali sebagai cacar monyet (monkeypox) tetapi namanya telah ditukar oleh WHO selepas para saintis mendapati puncanya bukan disebabkan oleh monyet.
Kajian mendapati ada banyak haiwan yang boleh menjadi punca virus berkenaan, namun tikus adalah penyebab jangkitan yang paling tinggi.
Mpox adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus orthopoxvirus dan boleh memasuki badan melalui luka atau calar pada permukaan kulit.
Ia juga mudah tersebar melalui rembesan pernafasan berjangkit seperti batuk dan merebak ke seluruh badan melalui saluran darah.
Virus ini menyebabkan pesakit mengalami demam, menggigil serta sakit kepala.
Gejala awal boleh berlarutan selama 1 hingga 3 hari atau lebih diikuti ruam pada bahagian muka sebelum merebak ke bahagian badan lain.
Ruam berkenaan mula muncul seperti bintil yang berisi cairan nanah sebelum pecah dan berkerak.
Penyakit ini tidak membawa maut namun komplikasi akibat jangkitan boleh menyebabkan kematian terutamanya kepada golongan berisiko tinggi.
Walaupun penyakit ini berasal dari haiwan, namun ia juga mampu merebak kepada manusia.
Ini bukan kali pertama virus ini telah merentas benua.
Pada tahun 2022, virus ini telah merebak ke seluruh dunia dengan hampir 100,000 kes dilaporkan di 122 negara.
Terdahulu pada tahun 2003, virus ini telah menjangkiti anjing liar di Amerika Syarikat dipercayai dari tikus yang dihantar ke negara itu.
Virus ini terdiri dari dua varian iaitu Clade 1 dan Clade 2.
Varian Clade 2 hanya didapati di Afrika Barat dan ini yang menyebabkan penularan pada tahun 2022.
Varian ini bagaimanapun dianggap sebagai kurang memberi kesan mudarat.
Varian terbaharu adalah Clade 1 dan ia didapati di Afrika Tengah.
Varian ini telah merebak ke seluruh benua Afrika dan juga telah dikesan di Pakistan dan Sweden serta Indonesia.
Ia dianggap memberi kesan lebih mudarat kepada manusia dan mudah dijangkiti.
Jadi bagaimana untuk melindungi diri dari dijangkiti virus ini?
Seperti virus COVID-19, pelitup muka, pengasingan diri dan pensanitasi tangan (hand sanitiser) adalah perlu.
Pakar kesihatan menyarankan orang ramai harus mengamalkan langkah pencegahan seperti yang dilakukan semasa pandemik COVID-19 tercetus.
Sumber : astroawani.com
Pesakit yang dijangkiti mpox perlu mengasingkan diri di rumah sehingga segala ruam di badan telah kering dan jatuh sendiri.
Mereka juga perlu menghindari dari menyentuh orang lain atau haiwan dan tidak berkongsi pakaian mahupun perkakas untuk makan atau menulis.
Pesakit juga disaran untuk memakai pelitup muka apabila berada di kawasan orang ramai.
[…] Apakah mpox dan bagaimana untuk melindungi diri? […]