ALOR SETAR: Bekas tukang masak yang didapati bersalah membunuh pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, Nur Syuhada Johari, 20, pada 2015 terlepas hukuman gantung sampai mati.
Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi, di sini, pada Rabu memutuskan menggantikan hukuman mati mandatori itu kepada penjara 38 tahun dan 14 sebatan setelah membenarkan permohonan Syarafi Abu, 34.
Keputusan ini dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.
Baca Juga : Mengukir Warisan: Kisah pembuat batu nisan Islam berbangsa Cina
Keputusan tersebut dibuat mengikut Seksyen 2(4) dan 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Tengku Maimun memerintahkan hukuman penjara ke atas lelaki berkenaan dijalankan dari tarikh dia ditangkap pada 2 Februari 2015.
Sebelum ini, peguam Syarafi, Farida Mohammad memohon hukuman ke atas anak guamannya diringankan dengan hukuman penjara 31 hingga 35 tahun.
Perkara itu bagaimanapun dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fuad Abdul Aziz yang mengemukakan hujah bahawa perbuatan dilakukan oleh Syarafi adalah sangat kejam.
“Maaf Yang Amat Arif, dan Yang Arif, Yang Arif, saya teremosi dalam perkara ini kerana saya sendiri mempunyai anak.
“Saya mohon hukuman gantung ini kekal. Mangsa ditikam dengan pisau rambo. Anak yang dijaga sehingga besar tiba-tiba dibawa pergi dan dibunuh,” hujahnya.
Mohd. Fuad berkata, bagaimanapun, beliau memohon hukuman yang paling berat sehingga 40 tahun penjara dan 20 sebatan jikalau hukuman ini perlu ditukar.
Dalam persidangan turut dihadiri keluarganya, bekas tukang masak itu kelihatan tenang di kandang tertuduh.
Pada 6 November 2019, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan hukuman mati ke atas Syarafi kerana membunuh seorang pelajar perempuan dengan mengelar lehernya.
Pada November 2019, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas bekas tukang masak itu kerana membunuh Nur Syuhada dengan mengelar lehernya pada 2015.
Panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed berkata, mahkamah telah meneliti penghakiman Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mendapati Syarafi Abu telah menyebabkan kecederaan maut terhadap Nur Syuhada.
Sebelum ini, Syarafi didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 2017 atas pertuduhan membunuh Nur Syuhada semasa di dalam sebuah kereta dalam sebuah kereta di Kilometer 228.2, Lebuh raya Utara-Selatan arah selatan di Bukit Gantang, Perak pada 2 Februari 2015.
Syarafi gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Tragedi yang menimpa arwah Nur Syuhada yang maut selepas dikelar Syarafi pernah mengemparkan seluruh negara kira-kira sembilan tahun lepas.
Nur Syuhada yang juga pelajar tahun pertama Diploma Pengurusan Pelancongan dan Hotel meninggal dunia selepas dua jam ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar.
Sumber : astroawani.com
[…] Bekas tukang masak bunuh Nur Syuhada terlepas hukuman gantung […]