KUALA LUMPUR: Deepavali, atau Pesta Cahaya, disambut penuh meriah di seluruh negara hari ini dengan penganut Hindu sejak awal pagi mengunjungi kuil di kawasan masing-masing untuk upacara keagamaan. Suasana kemeriahan ini turut dikongsi oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama yang bersama-sama memeriahkan sambutan ini.
Di PERAK, sekitar 5,000 penganut Hindu mengunjungi Kuil Kallumalai Arulmigu Subramaniar di Gunung Cheroh, Ipoh sejak pukul 6 pagi. Menurut Setiausaha Kehormat kuil itu, V. Thiagarajan, sambutan Deepavali kali ini lebih meriah, dengan ramai yang hadir dalam pakaian berwarna-warni.
Di MELAKA, ratusan penganut Hindu berkumpul di Kuil Sri Karumarriamman Alayam, Paya Rumput Perdana sejak pukul 7 pagi untuk berdoa. R. Malini, dari Taman Muzaffar Syah, berkongsi bahawa tradisi keluarganya adalah bangun awal untuk mandi minyak sebelum ke kuil bersama keluarga.
DISYORKAN : SPRM reman 2 lagi individu kes kartel perolehan baja bernilai RM60 juta
Di JOHOR, Kuil Arulmigu Thandayuthapani yang berusia lebih 100 tahun di Jalan Kuel, Wadi Hana, terus menjadi tempat tumpuan bagi upacara Deepavali. Pengerusi kuil, G Meganathan, menjangkakan lebih 1,000 penganut akan hadir hari ini walaupun kuil sedang dalam pengubahsuaian.
Di NEGERI SEMBILAN, sekitar 6,000 penganut dijangka mengunjungi Kuil Sri Bala Thandayuthapani di Seremban yang dibuka dalam dua sesi sepanjang hari ini. Jayandran Maniban dari Jempol berkongsi, sudah menjadi kebiasaan bagi keluarganya untuk datang awal pagi ke kuil ini setiap kali Deepavali.
Di SELANGOR, sambutan Deepavali dimeriahkan dengan rumah terbuka yang dianjurkan Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau, yang turut dihadiri pemimpin tempatan dan persekutuan. Sambutan ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Di TERENGGANU, masyarakat Hindu meraikan Deepavali dengan sederhana, dimulakan dengan mandi minyak bijan pada awal pagi. Menurut D. Punithavalli, walaupun masyarakat India di Terengganu kecil, semangat perayaan tetap dirasai dengan kehadiran jiran dan rakan-rakan.
Di SARAWAK, Deepavali juga disambut sederhana. Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut mengambil kesempatan melawat rumah terbuka penganut Hindu di sana.
Di PULAU PINANG, Ketua Menteri Chow Kon Yeow menyeru semua rakyat untuk menghayati nilai kasih sayang dan perpaduan dalam semangat Deepavali, sambil komited untuk terus memperkasakan komuniti India melalui pelbagai inisiatif di negeri tersebut.
Di ibu kota KUALA LUMPUR, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir di Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 di Sentul, di mana ribuan rakyat memeriahkan sambutan ini. Sementara itu, ramai warga kota mengambil kesempatan cuti umum dengan melawat tempat-tempat tarikan pelancong serta menikmati jualan istimewa di pusat membeli-belah sekitar Kuala Lumpur.
[…] Deepavali disambut meriah, penuh warna-warni seluruh negara […]