Deepavali: Little India Brickfields jadi tumpuan beli persiapan akhir

Pengunjung melihat perhiasan yang dijual ketika tinjauan sempena persiapan sambutan Deepavali di Little India, Brickfield hari ini. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Little India Brickfields terus jadi tumpuan orang ramai yang nak beli barang-barang segar dan keperluan Deepavali dengan diskaun sampai 50% sebagai persiapan akhir sebelum sambutan Deepavali esok.

Menurut tinjauan Bernama, orang ramai mula datang seawal 8 pagi walaupun kedai mula beroperasi pukul 10 pagi. Pavitthra Kandiah, 35, kata dia memang biasa buat persiapan di saat-saat akhir supaya barang yang dibeli segar, seperti bunga, buah, dan manisan.

“Setiap tahun saya datang sini untuk persiapan akhir, lagi-lagi nak cari barang segar untuk upacara sembahyang malam ini dan esok pagi. Bunga segar, kalau beli awal, memang layu,” katanya. “Rumah dah siap dihias, tapi kami tetap keluar juga di saat akhir sebab banyak diskaun, sampai separuh harga.”

DISYORKAN : Fahmi tegur Meta masih gagal tangani pedofilia, ‘sexual grooming’

Rupiha Ragoowathy, 31, pula sanggup datang dari Klang untuk merasai suasana beli-belah di Little India Brickfields. “Kami sampai sini pukul 8.30 pagi, walaupun kedai belum buka, orang dah ramai. Datang awal ni supaya perjalanan lebih lancar dan parkir senang.”

Kumar, 37, kata dia datang ke Little India hari ni untuk beli pelbagai barang seperti baju raya, hiasan rumah, bunga api, dan lain-lain. “Kami suka beli barang saat akhir sebab banyak pilihan baru dengan harga lebih murah. Selain itu, nak dapatkan ‘mood’ raya juga, jadi tak kisah bersesak,” jelasnya. Walaupun dia perlu ke pejabat separuh hari, dia tak anggap itu masalah kerana niatnya untuk sambut Deepavali dengan meriah bersama keluarga.

Raj Kumar, 40, pula perlu “curi masa” kerja untuk beli barang segar sebelum mula bercuti esok. “Saya masuk pejabat awal sikit hari ni supaya ada masa nak datang sini beli barang-barang macam perhiasan rumah, makanan segar, buah, sayur.”

Di pihak peniaga, Kimed, 24, kata diskaun hingga 50% diberikan untuk pelbagai barangan termasuk pakaian seperti Lehenga, Punjabi suit, hiasan rumah, dan patung sembahyang. “Kami memang ada pelanggan tetap yang tahu kami buat diskaun di saat akhir, jadi mereka datang beli keperluan di sini. Lampu hiasan LED dan baju raya pun kami bagi diskaun besar, bunga potongan pula dalam 20 hingga 30%,” katanya.

Sumber : astroawani

Related posts

One Thought to “Deepavali: Little India Brickfields jadi tumpuan beli persiapan akhir”

  1. […] Deepavali: Little India Brickfields jadi tumpuan beli persiapan akhir […]

Leave a Comment