KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI akan terus memastikan platform media sosial bertindak tegas untuk membendung jenayah dalam talian supaya internet lebih selamat untuk semua, terutamanya untuk kanak-kanak dan keluarga, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Dalam pertemuan dengan pihak Meta petang semalam, Fahmi berkata beliau telah menegur syarikat tersebut kerana masih belum menangani isu pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming), terutamanya di platform Facebook.
“Meta perlu ambil langkah yang lebih proaktif dalam membanteras kumpulan-kumpulan di akaun media sosial Meta yang ada kaitan dengan jenayah seksual ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pertemuan itu juga disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; serta Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara, Rafael Frankel, dan pasukan Meta.
DISYORKAN : Pemimpin PBB bidas tindakan Israel larang UNRWA beroperasi di Palestin
Fahmi menjelaskan, perbincangan tersebut berkisar tentang kesiapsiagaan semua pihak untuk menguatkuasakan pelesenan platform media sosial dan sistem mesej internet bermula 1 Jan 2025. Pihak Meta turut berkongsi pandangan mereka tentang keperluan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan, termasuk Kod Tatalaku dan Akta Keselamatan Dalam Talian yang masih dalam proses penelitian mereka.
“Saya sudah maklumkan kepada Meta bahawa tujuan kerajaan mengenakan lesen ini adalah untuk menangani jenayah yang berlaku di media sosial, termasuk jenayah penipuan, judi dalam talian, buli siber, dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Namun, saya komited untuk mendengar pandangan dari semua platform media sosial, memandangkan lesen yang akan dikenakan nanti adalah lesen kelas (Class License),” tambahnya.
Selain itu, lesen ini juga akan dikenakan kepada semua platform yang memenuhi syarat, iaitu yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia.
Menurut beliau, pihak Meta bersetuju untuk memberi maklum balas terhadap draf Kod Tatalaku yang diterbitkan pada 22 Okt lalu dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan MCMC pada awal minggu depan untuk meneliti beberapa aspek dengan lebih mendalam.
“Saya sambut baik kesediaan Meta untuk terus bekerjasama dalam isu pelesenan ini,” kata Fahmi.
[…] Fahmi tegur Meta masih gagal tangani pedofilia, 'sexual grooming' […]