SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang bekas guru sekolah kebangsaan di Selayang membayar ganti rugi sebanyak RM85,000 selepas didapati bersalah memukul bekas muridnya dengan penyapu hingga mengakibatkan kecederaan berdarah dan memerlukan lima jahitan di kepala.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Hazizah Kassim, membuat keputusan tersebut setelah membenarkan rayuan pelajar terbabit, yang kini berusia 13 tahun, diwakili oleh bapanya selaku plaintif, terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Selayang yang sebelum ini menolak saman terhadap guru wanita berumur 60 tahun itu.
Namun, Datuk Hazizah mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak saman tersebut terhadap guru besar sekolah berkenaan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga.
Dalam penghakimannya, Datuk Hazizah Kassim menyatakan bahawa mahkamah berpendapat tindakan defendan pertama (guru wanita) menggunakan penyapu untuk menakutkan murid supaya mematuhi arahan adalah tidak sesuai pada masa kini.
“Sektor pendidikan perlu maju dalam mendidik pelajar. Setiap pendidik harus peka dan prihatin terhadap hak perlindungan kanak-kanak di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia.
DISYORKAN : Pengurus tokong didakwa terima deposit pelaburan lebih RM70,000 tanpa lesen
“Insiden ini sangat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku di institusi sekolah, yang sepatutnya menjadi tempat pendidikan untuk kanak-kanak di negara ini. Ia diharapkan menjadi pengajaran dan tidak akan berulang lagi,” kata Datuk Hazizah.
Beliau turut menyatakan bahawa terdapat kekhilafan yang jelas dalam kes ini yang membolehkan Mahkamah Tinggi untuk campur tangan.
“Justeru, mahkamah ini mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan mengarahkan defendan pertama untuk membayar ganti rugi am sebanyak RM15,000, serta RM70,000 untuk ganti rugi teladan dan RM5,000 bagi kos rayuan. Mahkamah juga memutuskan bahawa defendan kedua dan ketiga tidak bertanggungjawab atas tindakan defendan pertama,” katanya.
Prosiding itu dihadiri oleh peguam plaintif, Azmer Md Saad dan Nur Zalikha Noor Kashfi, manakala peguam Ruslan Hassan dan Mohd Zali Shaari mewakili defendan pertama. Peguam Kanan Persekutuan Nur Aifaa Che Abdullah bertindak bagi pihak guru besar dan kerajaan.
Pada 20 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Selayang telah menolak saman seorang bekas murid tahun dua di sebuah sekolah kebangsaan di Selayang terhadap tiga pihak, termasuk seorang bekas guru sekolah tersebut, atas tuduhan memukul menggunakan penyapu sehingga menyebabkan kecederaan berdarah dan memerlukan lima jahitan di kepala.
Dalam saman yang difailkan pada 17 Oktober 2022, plaintif, yang ketika itu berumur lapan tahun, mendakwa bahawa semasa sesi pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu pada pukul 3 petang, 18 Oktober 2019, dia dan seorang lagi murid melihat defendan pertama sedang mengejar seorang rakan sekelas sambil memegang sebatang penyapu.
Plaintif mendakwa bahawa ketika dia dalam perjalanan kembali ke tempat duduknya, wanita tersebut secara tiba-tiba memukul kepalanya dengan penyapu, menyebabkan kecederaan dan pendarahan yang banyak.
Hasil pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan di Gombak mendapati bahawa dia mengalami kecederaan di bahagian atas kepala dan memerlukan lima jahitan, serta kepalanya dibalut untuk menutup luka.
Susulan insiden tersebut, bapa plaintif membuat laporan polis pada jam 6.45 petang, hari yang sama, dan meminta penjelasan daripada defendan. Defendan menyatakan bahawa murid itu dipukul kerana tidak berada di tempat duduk semasa sesi pembelajaran dalam kelas.
Dalam samannya, plaintif mendakwa bahawa kegagalan semua defendan untuk memastikan plaintif dibimbing dengan baik dan berada dalam keadaan selamat sepanjang sesi persekolahan, menyebabkan kecederaan yang dialami plaintif akibat tindakan defendan pertama.
Sumber : astroawani.com
[…] Guru pukul murid guna penyapu diperintah bayar ganti rugi RM85,000 […]
Terbaik la artikel ni! Kalau korang nak lagi banyak tips
atau nak tahu game mana yang tengah
tinggi winrate, boleh check kat sini: https://rjb88.com/.
Memang senang menang kalau tahu strateginya!