Hassan Karim Terima Apa Saja Keputusan Lembaga Disiplin PKR
PASIR GUDANG: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, tidak bercadang untuk membuat rayuan terhadap keputusan yang bakal ditetapkan oleh Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Ahad ini susulan kritikannya terhadap kerajaan baru-baru ini.
Hassan berkata, beliau bersikap terbuka dan sedia menerima apa saja keputusan, termasuk digantung atau dipecat daripada parti.
“Saya sudah hadir dalam sesi perbicaraan dengan lembaga disiplin parti pada Khamis lepas, tapi setakat ini belum ada keputusan.
“Mereka hanya berikan pandangan dan selepas itu perkara ini akan dirujuk kepada Biro Politik PKR. Kemudian, ia akan dibawa ke Majlis Pimpinan Pusat yang dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi, keputusan muktamad akan diumumkan esok (Ahad),” katanya pada Sabtu.
DISYORKAN : Kenaikan tambang bas sekolah tidak boleh dielak – BSM
Hassan dipanggil menghadap lembaga disiplin parti selepas membuat kritikan terhadap kerajaan, khususnya mengenai pelantikan syarikat U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua. Selain itu, PKR turut menyifatkan tindakan Hassan sebagai mencalarkan imej parti kerana mengeluarkan kenyataan terbuka.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, dia menghormati sebarang keputusan yang akan dibuat dan enggan memberikan komen yang boleh mempengaruhi keputusan tersebut.
“Saya berpuas hati dengan cara lembaga disiplin parti uruskan perkara ini. Mereka bersikap profesional, termasuk menghantar surat meminta saya tunjuk sebab terlebih dahulu dan memberikan saya masa tujuh hari untuk jawab.
“Saya dah jawab surat itu dan hadir untuk beri penjelasan. Mereka dengar apa yang saya katakan. Dari sudut itu, saya puji tindakan PKR kerana konsisten dengan apa yang mereka cakap,” katanya.