ISKANDAR PUTERI: Dekat Johor, memang tak ada lesen untuk jual vape atau rokok elektronik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, cakap larangan ni dah ada sejak 2016 dan masih berjalan sampai sekarang. Larangan ni termasuk semua jenis jual beli vape, sama ada perisa dalam bentuk gel atau cecair, lebih-lebih lagi yang ada nikotin.
“Setakat hari ni, PBT dekat Johor tetap tak bagi lesen untuk jual vape atau rokok elektronik. Negeri ni masih kekal dengan larangan ni,” katanya masa sidang media dekat Bangunan Sultan Ismail, Ahad lepas.
DISYORKAN : Conor McGregor disabit bersalah, lakukan serangan seksual terhadap wanita
Untuk info, sejak 1 Januari 2016, kerajaan Johor dah mula kuatkuasakan larangan ni. Ia termasuk tindakan terhadap peniaga yang jual atau buat urusan berkaitan vape. Larangan ni asalnya dikeluarkan lepas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang tegas tentang perkara ni.
Pada 19 November lepas, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kata kerajaan Persekutuan masih ambil pendekatan kawal selia untuk vape melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dah mula dikuatkuasakan sejak 1 Oktober lalu.
Katanya lagi, kerajaan pusat tak haramkan penjualan vape di peringkat nasional, tapi negeri-negeri boleh buat keputusan sendiri. Kalau negeri nak larang, PBT masing-masing akan uruskan dasar tu.
Baru-baru ni, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pula sarankan supaya vape ni diharamkan terus. Baginda risau dengan peningkatan kes penyalahgunaan dadah di kalangan belia, terutama kat Pahang. Statistik oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pun tunjuk angka yang agak membimbangkan.