Tambang Bas Sekolah Dijangka Naik 25-30%
SHAH ALAM: Tambang bas sekolah dijangka naik antara 25 hingga 30 peratus bagi memastikan industri ini dapat terus bertahan.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Industri Bas Sekolah Malaysia (BSM), Mohd Haron Mohamad Sidik, menjelaskan bahawa kenaikan ini didorong oleh beberapa faktor seperti peningkatan kos alat ganti, kenaikan gaji minimum, dan persaingan dengan kenderaan haram yang semakin berleluasa.
“Tambang pada bulan Oktober dan November mungkin sukar dikutip kerana ramai murid sudah tidak ke sekolah selepas peperiksaan akhir tahun. Kalau dikira, pendapatan pengusaha bas sekolah sebenarnya hanya berjalan sembilan bulan dalam setahun.
DISYORKAN : RM2.1 juta kutipan saman PDRM dicatat pada hari pertama 2TM
“Tetapi, kos tetap seperti insurans, cukai jalan, pemeriksaan Puspakom, pinjaman bank, dan kos sara hidup tetap berjalan selama 12 bulan penuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, keadaan menjadi lebih sukar apabila Kementerian Pengangkutan menarik semula keistimewaan pengusaha bas sekolah yang dahulunya dibenarkan menjalankan aktiviti sewaan ketika cuti sekolah.
“Keadaan ini tentu saja menambah beban kepada pengusaha. Ditambah pula dengan gangguan kenderaan haram yang semakin menjadi-jadi. Adakah perniagaan bas sekolah ini masih menguntungkan, atau sekadar kerja amal semata-mata?” soal beliau.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mengambil alih kos tambang bas sekolah sekiranya prihatin terhadap beban ibu bapa.
“Kerajaan boleh mencontohi modul bas percuma seperti yang dilaksanakan DBKL untuk membantu menampung kos tambang bas dan sekaligus menangani masalah kenderaan haram di sekolah-sekolah,” katanya.
Mohd Haron juga menjelaskan bahawa sesi persekolahan dijangka kembali seperti biasa pada 2026, dengan operasi bas sekolah hanya berjalan selama 11 bulan kerana cuti penuh pada bulan Disember.