Lempar bom petrol, polis buru tiga Ah Long

LUMUT: Polis sedang memburu tiga individu yang disyaki sebagai Ah Long kerana melempar bom petrol ke sebuah rumah di Taman Bintang, Pantai Remis, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman, menyatakan bahawa dalam kejadian sekitar jam 3.08 pagi itu, sembilan botol bom petrol telah dilemparkan ke arah kediaman berkenaan, menyebabkan sebuah kereta dan motosikal terbakar.

“Polis menerima laporan pada 9.36 pagi semalam daripada mangsa, seorang lelaki berumur 25 tahun yang juga merupakan pekerja di sebuah syarikat kuari,” katanya.

DISYORKAN : Mangsa banjir di Perak terus meningkat, Selangor menurun

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga individu tersebut menaiki sebuah kereta Toyota Altis dan memakai pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasbullah menambah bahawa hasil pemeriksaan lanjut di lokasi juga menemukan lima helai kertas yang tertera tulisan dalam bahasa Cina di luar pagar rumah mangsa, yang memberikan amaran supaya melangsaikan hutang.

“Pengadu bagaimanapun menafikan pernah terlibat dengan pinjaman wang tidak berlesen atau mempunyai sebarang musuh,” katanya, sambil menambah bahawa kes ini disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Amir Hafiz Mohd Rosli, melalui talian 011-24057360 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222 bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Sumber : astroawani.com

Related posts

One Thought to “Lempar bom petrol, polis buru tiga Ah Long”

Leave a Comment