KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak terus meningkat pagi ini, manakala di Selangor menunjukkan sedikit penurunan, sementara Kedah kembali dilanda banjir.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir kini meningkat kepada 231 orang daripada 77 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 136 orang daripada 43 keluarga yang direkodkan malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan bahawa dua PPS baharu telah dibuka pada 12 tengah malam tadi di daerah Hulu Perak. PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Adika Raja yang menempatkan 13 orang daripada lapan keluarga, dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gerik yang menempatkan 76 orang daripada 26 keluarga. Dengan ini, jumlah keseluruhan PPS yang dibuka setakat ini adalah enam.
DISYORKAN : Op Global: Anak bekas pemimpin Al-Arqam, pengikut GISB dilepas dengan bon jaminan
Di daerah Kerian, dua PPS telah dibuka, iaitu SK Changkat Lobak yang menempatkan 45 mangsa daripada 12 keluarga dan SK Parit Haji Aman Bagan Serai yang menempatkan 32 mangsa daripada 10 keluarga. Sementara itu, di Taiping, dua PPS iaitu SK Matang Gelugor, Matang menempatkan 45 mangsa daripada 13 keluarga, dan SK Matang yang menempatkan 20 mangsa daripada lapan keluarga.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), semua daerah di Perak dijangka akan mengalami ribut petang ini.
Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS setakat 8 pagi ini menunjukkan sedikit penurunan, iaitu sebanyak 909 orang daripada 213 keluarga, berbanding 975 orang daripada 232 keluarga malam tadi.
Menurut portal InfoBencanaJKM, enam PPS masih beroperasi untuk menampung mangsa banjir dari tiga daerah iaitu Shah Alam, Gombak, dan Kuala Selangor. PPS tersebut termasuk Dewan Majlis Perbandaran Selayang Seri Kundang, Balai Raya Kampung Melayu Sri Kundang, SK Desa Aman, Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, SK Ijok, dan SK Bukit Badong.
Sementara itu, KEDAH kembali dilanda banjir dengan sebuah PPS dibuka di daerah Kubang Pasu awal pagi ini yang menempatkan 80 orang. Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, menyatakan bahawa semua mangsa terdiri daripada 26 keluarga dan ditempatkan di SMK Changlun yang dibuka pada 2.30 pagi.
“Hujan lebat sejak petang semalam telah menyebabkan air naik di kawasan rumah mangsa. Semua mangsa adalah dari Kampung Nangmah, Kampung Belakang Sekolah Dato Kembara, dan Kampung Kubang Kayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan bahawa Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar telah melepasi paras bahaya.
Sumber : astroawani.com
[…] Mangsa banjir di Perak terus meningkat, Selangor menurun […]