KUALA SELANGOR: Dari luar, kedai Chop Lian Fiat mungkin kelihatan seperti sebuah kedai kecil yang biasa.
Namun, jika dilihat lebih dekat, kedai ini menyimpan kisah yang kaya dengan keunikan budaya tempatan.
Pemiliknya, Kuah Leong Chuan, 69 tahun, telah menghasilkan batu nisan untuk kubur orang Islam selama lebih 40 tahun.
Baca Juga : Guru rugi lebih RM130,000 terperdaya skim pelaburan, pinjaman tidak wujud
Keunikan beliau bukan sekadar dalam perniagaan yang diceburi, tetapi juga kebolehannya menulis tulisan jawi – sesuatu yang jarang dilihat dalam kalangan pembuat batu nisan bukan Melayu.
“Semua lengkap,” kata Kuah, sambil merujuk kepada tulisan jawi yang diukir pada batu nisannya.
“Al-Fatihah, nama si mati, kembali ke rahmatullah, tarikh, Syawal atau Zulkaedah atau apa-apa saja, dan diakhiri dengan ‘amin’,” katanya.
Kedai yang telah bertapak di bandar ini selama hampir 70 tahun itu diambil alih dari bapanya pada tahun 1980-an, menjadikan Kuah generasi kelima yang meneruskan legasi keluarga itu.
“Dulu, kerja lain tak ada. Saya sambung kerja bapa,” katanya.
Walaupun tidak pernah menerima pendidikan formal dalam penulisan jawi, Kuah mempelajari kemahiran ini secara perlahan-lahan melalui pengalaman dan bimbingan orang sekeliling.
“Dulu ada surat khabar jawi pada tahun 1970-an. Saya bersekolah waktu itu. Lepas sekolah, saya belajar cara memecahkan batu dan mengukir. Selepas itu barulah saya belajar tulisan jawi,” katanya.
Pada ketika itu, penghasilan batu nisan diambil alih oleh abangnya, sementara Kuah hanya menyelenggara kedai.
Namun, selepas abangnya jatuh sakit, dia mengambil alih perniagaan itu sepenuhnya.
Sejak itu, dia menerima kunjungan pelanggan dari sejauh Kelantan, Terengganu dan Johor, terutamanya kerana keunikannya sebagai seorang berbangsa Cina yang boleh menghasilkan batu nisan untuk kubur orang Islam.
Kuah juga terkenal dengan penggunaan bahan berkualiti tinggi dan teknik tradisional turun-temurun, yang memastikan batu nisan yang dihasilkan tahan lama.
“Batu nisan sekarang yang dicetak memang murah, sekitar RM200. Tetapi apabila banjir, air masuk dalam kerangka besi, ia berkarat. Kemudian batu itu pecah.
“Saya guna batu granit, bukan batu sungai atau bukit. Batu granit ini boleh membesar, tak macam batu kapur atau marmar.
“Sebab itu apabila anda lihat kubur lama, batu nisan sepatutnya dibeli sekali saja, pakai sampai bila-bila (tanpa rosak atau perlu diganti),” katanya.
Kini, dengan pengalaman menjangkau lebih empat dekad, Kuah telah menguasai setiap aspek perniagaan ini sehingga waris si mati hanya perlu datang kepadanya bersama sijil kematian.
“Kalau ada kematian, datang saja pada saya, semuanya saya selesaikan,” katanya sambil menambah, ini memudahkan para waris, terutamanya golongan muda yang kurang mahir dengan tulisan jawi.
Namun, seperti banyak perniagaan tradisional lain, masa depan kedai ini masih kurang jelas.
“Orang sekarang nak kerja di bawah pendingin hawa saja. Dulu saya kerja bawah pokok, dikelilingi nyamuk,” katanya.
Kata Kuah dia pernah cuba melatih anak saudaranya, tetapi menurunkan kemahirannya ke generasi baharu terbukti sukar.
“Tulisan jawi pun dia tak tahu. Macam mana nak berniaga?
“Yang penting tulisan jawi. Bila tulisan boleh, barulah saya ajar mengukir,” katanya.
Situasi ini merisaukan Kuah, yang umurnya hampir menginjak tujuh dekad dan kudratnya sudah semakin merosot.
“Saya sudah dua kali jalani pembedahan. Tenaga pun sudah kurang. Dulu saya kuat, sekarang tak macam dulu.
“Pada 2018 saya buat pembedahan batu karang. Sekarang, sering sesak nafas. Kerja ini, apabila mengetuk batu, saya hidu habuk.
“Zaman dulu mana ada pelitup muka,” tambahnya, menggambarkan kesan bertahun-tahun bekerja dengan batu dan debu.
Dengan setiap batu nisan yang dihasilkan, Kuah bukan sahaja mengukir nama si mati, tetapi juga meninggalkan jejak sumbangannya kepada komuniti setempat.
Sama ada generasi seterusnya akan meneruskan legasi ini masih belum pasti, namun sumbangan Kuah kepada masyarakat nyata memberikan impak yang mendalam.
Kedai kecilnya di Kuala Selangor bukan sekadar sebuah perniagaan, tetapi simbol kepelbagaian dan keunikan masyarakat Malaysia yang luar biasa.
Sumber : astroawani.com
[…] Mengukir Warisan: Kisah pembuat batu nisan Islam berbangsa Cina […]