
PUTRAJAYA: Pelaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah syariah di Terengganu bertujuan untuk mendidik dan mencegah, bukan sebagai hukuman kejam. Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain, menjelaskan bahawa hukuman ini dilaksanakan dengan penuh beretika dan mengambil kira prinsip kemanusiaan.
Menurutnya, pegawai perubatan akan memastikan keadaan kesihatan pesalah sebelum dan selepas pelaksanaan hukuman, manakala alat sebatan yang digunakan direka khas untuk mengurangkan risiko kecederaan fizikal.
“Hukuman sebat ini adalah bertujuan untuk mendidik, mencegah, dan menyedarkan masyarakat tentang pentingnya menjaga nilai-nilai agama. Ia dilaksanakan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah serta enakmen negeri yang relevan,” katanya dalam satu kenyataan.
DISYORKAN : Ringgit Kekal Stabil Walaupun Dolar AS Menguat
Mohd Amran juga menjelaskan bahawa hukuman sebat di luar penjara dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. SOP ini tidak mengizinkan kehadiran khalayak ramai dalam jumlah besar, sebaliknya menekankan aspek privasi, pengurusan tertib, dan pematuhan undang-undang serta etika. Ini penting agar pelaksanaan hukuman tidak disalahertikan atau dijadikan tontonan yang sensasi.
“Dalam konteks ini, kita perlu faham bahawa Malaysia mempunyai dua sistem undang-undang iaitu undang-undang sivil dan syariah, di samping undang-undang adat di Sabah dan Sarawak. Pelaksanaan hukuman ini adalah sebahagian daripada usaha menegakkan keadilan dan menjaga kesejahteraan masyarakat,” jelasnya lagi.
Mengenai kebimbangan berkenaan islamofobia, Mohd Amran yakin bahawa isu ini tidak berbangkit. Beliau menegaskan bahawa kehadiran pihak luar dalam menyaksikan hukuman sebat adalah tertakluk kepada kebenaran mahkamah syariah dan hanya dilaksanakan di masjid, di mana ia akan disaksikan oleh orang Islam sahaja.
Pada semalam, seorang buruh berusia 42 tahun yang mengaku bersalah berkhalwat buat kali ketiga, telah dijatuhkan hukuman sebat di khalayak ramai di Dewan ‘Aasim, Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Terengganu, selepas solat Jumaat. Beliau menjadi individu pertama di Terengganu yang menjalani hukuman sebat di khalayak ramai.
DISYORKAN : freemalaytoday.com