Penduduk Kota Bharu Pantau Paras Air Sungai Kelantan Sepanjang Malam
KOTA BHARU – Bimbang pusat bandar Kota Bharu lumpuh akibat air sungai melimpah, penduduk di sini sanggup berjaga malam untuk memantau paras air Sungai Kelantan di kawasan Tambatan D’Raja.
Sejak beberapa hari lalu, kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai yang bukan sahaja memerhati keadaan sungai tetapi turut merakam video dan berkongsi situasi semasa di media sosial masing-masing.
DISYORKAN : Konsep Taat Jadi Punca Mangsa Keganasan Rumah Tangga Tak Lapor Kes
“Pantau Sampai Cuaca Pulih”
Nasrol Rosli, 25, mengakui sudah tiga malam berada di kawasan tersebut untuk melihat perkembangan paras air sungai. Dia juga berkemungkinan akan terus datang setiap malam sehingga cuaca kembali normal.
“Sekarang ini banyak tempat sudah banjir sebab hujan lebat berterusan. Saya dan kawan-kawan datang sini setiap malam untuk pantau keadaan hingga pagi. Kalau nampak makin serius, kami akan terus maklumkan kepada pihak berkuasa.
“Walaupun rumah saya di Kampung Cina belum dinaiki air, saya tetap mahu tahu apa yang berlaku di sungai ini,” katanya.
Ingin Lihat Situasi Dengan Mata Sendiri
Sementara itu, Mahriz Afandi, 36, yang tinggal di Pasir Tumbuh berkata, walaupun ada stesen pemantauan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) di Tambatan D’Raja, dia tetap memilih untuk hadir sendiri ke lokasi.
“Kawasan rumah saya dah mula dinaiki air, tapi rumah saya masih selamat. Sebab cuti Jumaat dan Sabtu, saya ambil peluang untuk datang sini dan lihat sendiri keadaan banjir,” katanya.
Keadaan Semasa di Tambatan D’Raja
Hasil tinjauan pagi tadi mendapati hujan masih turun tanpa henti. Paras air banjir di sekitar Tambatan D’Raja kini mencecah 0.5 meter, namun itu tidak menghalang orang ramai untuk terus berkunjung ke situ. Malah, angin kencang juga tidak mematahkan semangat mereka yang ingin melihat situasi terkini.
Menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada jam 8 pagi tadi, paras air di Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja telah mencapai paras bahaya iaitu setinggi 5.58 meter.
Amaran Hujan Lebat
Pada hari Rabu lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku hingga hari ini di seluruh Kelantan, Terengganu, serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang.
Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan untuk terus berhati-hati dan sentiasa memantau perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan mereka.