KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia dalam blok ekonomi BRICS akan membolehkan negara mempelbagaikan diplomasi ekonominya dan mengukuhkan kerjasama melalui inisiatif bersama, menurut Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).
BRICS adalah pakatan antara kerajaan yang merangkumi Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.
Presiden NCCIM, Datuk Seri N Gobalakrishnan berkata, langkah itu merupakan pengaturan bermanfaat yang akan mengiringi era pemindahan teknologi maju dan perkongsian pengetahuan, penting untuk kemajuan bersama Malaysia dan negara-negara BRICS.
Baca Juga : Malaysia tidak minat sebelahi Barat dalam soal hubungan dengan Rusia – PM Anwar
“Ketika Malaysia melangkah maju untuk menyertai BRICS, kami gembira untuk memanfaatkan kedudukan negara sebagai pusat semikonduktor serta peserta aktif dalam pasaran global.
“Keanggotaan Malaysia dalam BRICS akan mewujudkan persekitaran perdagangan yang seimbang dan saksama, menggalakkan infrastruktur kewangan yang adil, yang penting untuk pertumbuhan ekonomi global yang mampan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia dari 22 hingga 24 Okt, 2024, mencerminkan pendekatan proaktif negara untuk mengukuhkan kerjasama dan dialog antarabangsa.
“Penglibatan ini bukan sahaja peluang untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara BRICS malah juga platform untuk mempamerkan ketersediaan Malaysia untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan kolektif Global Selatan,” katanya.
Beliau berkata, ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan, penglibatan dengan BRICS adalah tepat pada masanya.
“Malaysia bukan hanya menyertai pakatan ekonomi malah juga menjajarkan kedudukan dengan kumpulan yang mencerminkan aspirasi kita untuk ekonomi global yang lebih bersepadu dan adil.
“Kami memuji pendirian dan pendekatan terbuka kerajaan Malaysia terhadap kerjasama antarabangsa, yang selari dengan aspirasi komuniti perniagaan kami,” katanya.
Sumber : astroawani.com
[…] Penyertaan dalam BRICS pelbagaikan diplomasi ekonomi Malaysia – NCCIM […]