SEPANG: Polis sedang mencari suspek utama yang disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang lelaki warga China berhampiran Plaza Tol Putrajaya, Lebuhraya Mex pada 18 Oktober lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Shan Gopal Krishnan berkata, pihaknya akan memberikan maklumat terkini jika suspek utama itu ditangkap.
“Setakat ini, lapan orang termasuk seorang wanita telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes ini. Suspek utama masih dalam pencarian,” katanya ringkas pada Ahad.
Pada Jumaat lepas, lima lelaki termasuk seorang warga tempatan ditahan berkaitan kes ini. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, menyatakan empat suspek warga China ditahan sehingga Isnin, manakala warga tempatan ditahan sehingga Selasa.
Siasatan mendapati suspek menahan kenderaan e-hailing yang dinaiki mangsa dalam perjalanan ke KLIA, Sepang, sekitar jam 7.30 pagi. Selepas melepasi plaza tol Putrajaya, kenderaan mangsa ditahan oleh Toyota Velfire, dan mangsa diculik.
DISYORKAN : Program SejaTi MADANI dilaksana di semua kampung seluruh negara – PM Anwar
Keesokan harinya, polis berjaya menahan empat lelaki warga China dan menemui mangsa yang cedera selepas terjun bangunan ketika cuba melarikan diri. Mangsa dipercayai dikurung di sebuah premis di Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pada 22 Oktober, polis menangkap seorang lagi lelaki warga tempatan. Siasatan menunjukkan motif penculikan adalah pemerasan, dengan tuntutan tebusan RM300,000 atas alasan kononnya mangsa berhutang dengan suspek. Setakat ini, keluarga mangsa belum membayar wang tebusan tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Sumber : astroawani
[…] Polis buru suspek utama kes culik warga China […]