Ramai warga Malaysia lupa bahasa ibunda, cenderung berbahasa Inggeris – Warga Jerman

Luebke (belakang, dua dari kanan) dan Husna Hisan (epan, dua dari kiri) bersama-sama empat anak mereka bertutur dalam bahasa Malaysia dan mengekalkan budaya Melayu sekalipun berada jauh di Hamburg, Jerman.

KUALA LUMPUR: “Semakin ramai yang melupakan dan cenderung untuk bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah berbanding bahasa ibunda.”

Itu luahan seorang warga Jerman, Michael Luebke yang gusar dengan segelintir masyarakat Malaysia yang dilihat kurang menjunjung budaya dan identiti mereka.

Menurut Luebke, selain menjadi wadah penting untuk komunikasi, bahasa menggambarkan keagungan dan keluhuran sesebuah tamadun.

Baca Juga : Jatuh talak satu, Nora Ariffin sah bercerai

Katanya lagi, bahasa juga mempamerkan keunikan budaya sesebuah bangsa dan cara masyarakat berfikir.

“Saya amat bimbang kerana saya sering melihat ramai yang semakin melupakan budaya dan agama di Malaysia.

“Saya perhatikan ada yang tidak lagi bertutur dalam bahasa Melayu di rumah, sebaliknya lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris padahal perkara ini sangat penting kerana ia adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia.

“Dahulu, rakyat Malaysia berjuang mempertahankan budaya dan bahasa, tetapi kini ramai yang seakan-akan melupakan usaha tersebut.

“Oleh sebab itulah, kami menekankan penggunaan bahasa ibunda di rumah, supaya budaya dan bahasa kita tidak dilupakan.

“Kami juga mendidik anak-anak tentang adat Malaysia, nilai hormat-menghormati, serta kepentingan mengekalkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni dan unik,” kata beliau dalam wawancara bersama program AWANI Pagi, hari ini.

Dalam masa sama, Luebke berkongsi pengalaman peribadinya mempelajari bahasa Melayu yang disifatkannya mudah dipelajari dan sangat menarik.

“Memang sudah menjadi kebiasaan kami sejak dulu untuk bercakap dalam bahasa Melayu, jadi ia terasa biasa bagi kami.

“Selain itu, mempelajari bahasa Melayu juga menarik kerana cara sebutannya agak mirip dengan bahasa Jerman.

“Oleh sebab itu, jika warga Malaysia ingin belajar bahasa Jerman, mereka mungkin akan mendapati ejaan dan sebutan dalam bahasa Jerman juga mempunyai persamaan,” jelas Luebke, warga Jerman yang menetap di kota Hamburg bersama isterinya, Husna Hisan Md Nor yang juga rakyat Malaysia.

Meskipun jauh di perantauan, menurut Husna, beliau dan suami cenderung bertutur dalam bahasa Malaysia dan mengekalkan budaya Melayu yang turut diajar kepada keempat-empat anak mereka.

Sumber : astroawani.com

https://staysundance.com

Related posts

One Thought to “Ramai warga Malaysia lupa bahasa ibunda, cenderung berbahasa Inggeris – Warga Jerman”

  1. […] Ramai warga Malaysia lupa bahasa ibunda, cenderung berbahasa Inggeris – Warga Jerman […]

Leave a Comment