PDRM Kumpul RM2.1 Juta Pada Hari Pertama Diskaun Saman
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengutip saman bernilai RM2.1 juta pada hari pertama tawaran diskaun 60 peratus sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM).
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, memaklumkan bahawa sebanyak 24,400 saman telah berjaya diselesaikan semalam.
“Kesalahan yang paling banyak dibayar ialah melibatkan halangan lalu lintas, mengabaikan lampu isyarat, dan memandu melebihi had laju,” katanya ketika ditemui hari ini.
DISYORKAN : Global kini perhatikan Malaysia, sikap terbuka tapi tegas jadi tarikan – PM Anwar
Tambah beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama timbalannya telah melawat kaunter bayaran pada awal pagi tadi dan sempat berbual mesra dengan pengunjung. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, juga mencadangkan agar tawaran diskaun ini diperluaskan ke seluruh negara.
Menurut Mohd Yusri, ramai pengunjung berasa puas hati dan menghargai usaha Kerajaan MADANI dalam memberikan diskaun serta menyediakan kemudahan yang selesa semasa program 2TM ini.
Dalam kenyataannya semalam, Mohd Yusri turut menjelaskan bahawa pihaknya telah membuat persiapan rapi untuk memastikan keselesaan pengunjung. Sebanyak 25 kaunter disediakan, termasuk tujuh kaunter khas dan 21 mesin e-payment, di samping 520 kerusi untuk kemudahan orang ramai.
Kaunter semakan dan pembayaran saman menjadi tumpuan utama pada hari kedua Program 2TM, yang membawa tema ‘MADANI di Hati, Rakyat Disantuni’.