KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman dua lagi individu, termasuk seorang pengerusi syarikat asing yang dipercayai terlibat dalam tawaran projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan pertanian.
Perintah reman lima hari dikeluarkan hari ini oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Syahrul Sazly Md Sain, terhadap kedua-dua suspek tersebut.
Menurut sumber, kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 40-an dan 50-an ini ditahan ketika mereka memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM petang semalam.
DISYORKAN : Deepavali: Little India Brickfields jadi tumpuan beli persiapan akhir
“Hasil siasatan awal mendapati suspek utama, iaitu Pengurus Bahagian Promosi dan Pemasaran pertubuhan tersebut, menerima sebut harga daripada wakil syarikat untuk mendapatkan kelulusan Pengerusi Pertubuhan.
“Pengerusi pertubuhan memberi kelulusan untuk melantik syarikat asing tersebut tanpa melalui perbandingan harga atau Lembaga Pengarah. Kontrak pembekalan baja bernilai sekitar RM60 juta ini diberikan secara rundingan terus dalam masa enam hari sekitar bulan Jun 2022, walaupun syarikat tersebut tidak pernah menerima kerja dari pertubuhan itu sebelum ini,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penangkapan ini dan menyatakan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(a) Akta SPRM 2009.
Sehingga kini, tiga individu telah ditahan, termasuk seorang eksekutif pemasaran syarikat yang direman sehingga 2 November 2024.
[…] SPRM reman 2 lagi individu kes kartel perolehan baja bernilai RM60 juta […]