Conor McGregor Diperintah Bayar RM1.23 Juta Akibat Kes Serangan Seksual
PETINJU MMA terkenal, Conor McGregor, diperintah membayar ganti rugi sebanyak €248,000 (RM1.23 juta) selepas Mahkamah Tinggi di Dublin mendapati dia bersalah atas tuduhan serangan seksual terhadap seorang wanita, Nikita Hand, di sebuah hotel pada Disember 2018. Keputusan itu dilaporkan oleh BBC.
Juri yang terdiri daripada lapan wanita dan empat lelaki mengambil masa enam jam untuk berbincang sebelum membuat keputusan semalam. Mereka mendapati McGregor bersalah menyerang wanita berusia 35 tahun itu, yang mengalami lebam dan melecet akibat insiden tersebut. Hand mendapatkan rawatan di unit serangan seksual pada hari berikutnya.
DISYORKAN : Hassan Karim sedia digantung, dipecat keahlian PKR kerana kritik kerajaan
Selepas perbicaraan, Hand mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diterimanya dan menggalakkan mangsa lain untuk berani tampil bersuara.
“Tak kira betapa takutnya anda, anda tetap berhak untuk bersuara,” katanya kepada wartawan seperti yang dilaporkan oleh BBC.
McGregor, bagaimanapun, menafikan tuduhan itu dan mendakwa kecederaan tersebut mungkin berlaku akibat insiden lain yang tidak berkaitan. Dia juga telah mengumumkan rancangan untuk merayu keputusan tersebut. Dalam satu kenyataan di platform media sosial X, McGregor berterima kasih kepada penyokongnya dan menyatakan bahawa dia kini mahu fokus pada masa depan bersama keluarganya.
Dalam kes yang sama, seorang lelaki lain, James Lawrence, dibebaskan daripada tuduhan berkaitan dengan kejadian itu. Kedua-dua mereka mendakwa pertemuan dengan Hand adalah secara sukarela.
Menurut laporan BBC, mahkamah diberitahu bahawa Hand mengalami tekanan mental dan masalah kewangan sejak kejadian tersebut. Dia kehilangan pekerjaan, berdepan masalah tunggakan gadai janji, dan hubungannya turut berakhir.
Dalam kenyataannya di mahkamah, Hand menuduh McGregor menyerangnya di sebuah bilik hotel selepas pesta Krismas di Hotel Beacon. Dia mendakwa McGregor memaksanya ke atas katil sebelum insiden itu berlaku.