SHAH ALAM – Salah faham tentang konsep taat dalam rumah tangga dikenal pasti sebagai salah satu sebab mengapa ramai wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga tidak tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, menjelaskan bahawa konsep ini sering dimanipulasi oleh segelintir lelaki untuk membenarkan tindakan keganasan, termasuk buli mental, terhadap isteri.
“Kadang-kadang, ada yang gunakan alasan taat untuk menyuruh isteri relakan keganasan yang berlaku. Malangnya, ini juga dipengaruhi oleh sistem sosial atau budaya patriarki dalam masyarakat, yang anggap wanita yang menuntut hak mereka sebagai derhaka,” katanya.
Menurut Anfaal, budaya ini turut menyalahgunakan pandangan bahawa tindakan memukul adalah “untuk mendidik”. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pukulan yang disebutkan dalam ajaran agama seharusnya sangat ringan, tidak menyakitkan, dan tidak meninggalkan kesan fizikal.
Anfaal turut menyeru golongan agamawan untuk memainkan peranan penting dalam memberi penjelasan yang tepat tentang konsep taat dalam rumah tangga. Katanya, pendidikan ini perlu disampaikan dengan jelas untuk membantu wanita memahami hak mereka dan mengatasi isu keganasan rumah tangga.
DISYORKAN : Iran kecam PBB kerana tidak bertindak hentikan genosid Israel di Gaza
813 Kes Dilaporkan Setakat Ogos
Beliau turut mendedahkan bahawa sebanyak 813 kes keganasan rumah tangga telah direkodkan di Selangor sehingga Ogos tahun ini, dengan daerah Gombak mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 147 kes. Statistik ini membuktikan betapa seriusnya masalah ini dan memerlukan usaha bersama semua pihak untuk menanganinya.
Kempen 16 Hari Lawan Keganasan
Dalam pada itu, kempen 16 Hari Menentang Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak telah dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, di Wisma Dewan Negeri Selangor pada Isnin.
Kempen yang dijalankan setiap tahun ini bertujuan meningkatkan kesedaran serta memberikan pendidikan kepada masyarakat tentang isu keganasan rumah tangga. Ia akan berlangsung hingga 10 Disember nanti sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa untuk membanteras keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.