AMPANG JAYA: Kawasan tanah runtuh yang terletak berhampiran Jalan E6, Taman Melawati, Ampang di sini, telah diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko tinggi, dan penduduk diarah untuk segera berpindah.
Pihak berkuasa termasuk polis, bomba, dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya telah mengeluarkan arahan kepada kira-kira 300 penduduk di 18 buah rumah di Jalan E6 untuk mengosongkan kediaman mereka bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
Sebelum ini, kejadian tanah runtuh tersebut menjadi tular di media sosial menerusi video yang memaparkan runtuhan tanah yang berlaku berhampiran kawasan perumahan tersebut.
DISYORKAN : Mangsa banjir di tiga negeri meningkat petang ini
Aliran air yang deras dari bukit telah menyebabkan beberapa pokok tumbang di sekitar kawasan rumah dan kenderaan penduduk. Beberapa penduduk turut berkongsi video insiden tersebut di media sosial, menunjukkan kerosakan yang berlaku.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, menyatakan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 11.42 pagi.
“Seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang segera bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.
Ahmad Mukhlis menjelaskan bahawa setibanya di lokasi, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP), Syamsul Shahar, melaporkan bahawa kejadian tanah runtuh melibatkan lereng bukit seluas 20×20 meter dengan ketinggian runtuhan mencapai 30 meter.
“Insiden ini tidak melibatkan sebarang mangsa atau kediaman. Namun, masih terdapat pergerakan tanah di lokasi kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Chandra Kumar, berkongsi pengalamannya: “Sekitar 10:30 pagi, saya mendengar bunyi runtuhan yang kuat dan menyedari kereta saya telah tertolak ke bahu jalan.
“Ketika saya cuba untuk mengalihkan kenderaan, tiba-tiba berlaku runtuhan kedua dan anak jiran saya menjerit ketakutan.
“Setelah keadaan agak tenang, saya mengalihkan kenderaan saya lima minit kemudian. Setakat ini, kami telah diarahkan untuk berpindah sementara,” ujarnya.
Sumber : astroawani.com
[…] Kawasan tanah runtuh Taman Melawati diklasifikasi berisiko, penduduk diarah pindah […]