Larian berpakaian tidak senonoh: Tiga lelaki ditahan bantu siasatan

Tangkap layar peserta berpakaian tidak senonoh dalam Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di sebuah hotel di Bandar Penawar, Desaru, Kota Tinggi. - Foto Sinar Harian

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki telah ditahan polis bagi membantu siasatan berkenaan insiden kelakuan tidak senonoh dan lucah semasa program larian antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, menyatakan bahawa dua lelaki warga asing dan seorang warga tempatan berusia antara 39 hingga 70 tahun ditahan di sebuah hotel di Kota Tinggi pada jam 10 malam, Sabtu lalu.

Menurut beliau, pakaian dan aksesori yang dipercayai dipakai semasa larian tersebut, termasuk sari berwarna merah, skirt merah, tiga keping kadbod berwarna perak, dan batang tombak tiruan berwarna perak, turut dirampas.

DISYORKAN : Lempar bom petrol, polis buru tiga Ah Long

“Hasil ujian air kencing menunjukkan bahawa semua suspek negatif terhadap sebarang jenis dadah dan tiada satu pun daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

“Siasatan awal mendapati tindakan yang dilakukan oleh ketiga-tiga suspek adalah berdasarkan kapasiti individu dan bukan mewakili pihak penganjur atau program larian yang diadakan,” tambahnya.

“Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau menambah bahawa siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis serta menggugat ketenteraman awam.

“Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah ke talian hotline Ibu Pejabat Polis Kota Tinggi di 07-8831222 atau talian bilik gerakan 07-8831221,” ujarnya.

Sebelum itu, maklumat mengenai insiden ini tular di laman khas penduduk Kota Tinggi di Facebook dengan kapsyen ‘apa nak jadi dengan Bandar Penawar ni’.

Ia dikongsi oleh pemilik akaun Mohd Latif bin Talib, yang memaparkan beberapa gambar dan klip video sekumpulan individu berpakaian merah serta berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Antara kenyataan yang dimuat naik bersamanya adalah, “apa nak jadi dengan Bandar Penawar ni, risau bala datang nanti. Kawasan yang bermajoriti Melayu Islam tetapi ada acara macam ini. Siapa yang memberi kelulusan untuk acara Pan Asia 2024 ini?”

Pada hari Sabtu, media melaporkan bahawa kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyatakan bahawa kerajaan negeri memandang serius isu tular mengenai pelancong berpakaian songsang dan tidak senonoh dalam program larian di Kota Tinggi.

Related posts

One Thought to “Larian berpakaian tidak senonoh: Tiga lelaki ditahan bantu siasatan”

Leave a Comment