KUALA LUMPUR: Seorang pengurus tokong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima wang deposit melebihi RM70,000 daripada seorang wanita untuk tujuan pelaburan tanpa lesen yang sah, antara Januari hingga Mac lalu.
Sum Lai Yoong, 53, didakwa menerima wang berjumlah RM70,589.79 daripada seorang wanita berusia 44 tahun, yang merupakan pemilik sebuah syarikat pengeluaran sabun tangan, tanpa memiliki lesen yang sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Taman Mutiara Barat, Cheras, di sini, antara 12 Januari hingga 6 Mac lalu.
DISYORKAN : GISB: PDRM beku, sita harta RM19.9 juta, kesan aset luar negara RM52.4 juta
Pertuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, yang menetapkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta, atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya, R. Harvind, mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Luqman Zainal yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah jaminan tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibunya yang sedang sakit.
Hakim Azrul Darus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 November ini untuk sebutan semula kes.
Sumber : astroawani.com
[…] Pengurus tokong didakwa terima deposit pelaburan lebih RM70,000 tanpa lesen […]